KUALA LUMPUR, 20 Mei- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengucapkan tahniah kepada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) atas sambutan ulang tahun ke-58 agensi itu.
Menerusi hantaran Facebook beliau berharap agar agensi itu akan terus unggul sebagai sumber berita sahih, pantas, berwibawa dan diyakini.
"Selamat Ulang Tahun ke-58 BERNAMA! Terima kasih atas dedikasi menyampaikan maklumat tepat kepada rakyat Malaysia dan dunia," menurut hantaran itu.
Agensi itu ditubuhkan bawah Akta BERNAMA 1967 dan mula beroperasi pada 20 Mei 1968 dengan memulakan perkhidmatan teks berita dan berkembang kepada perkhidmatan foto, sebelum mengendalikan stesen radio pada 2007, televisyen (2008) dan terkini media digital.