fb fb fb fb fb

KBS rancang tingkat fasiliti gim di PUSPEN Sungai Besi

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 20 Mei – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang merancang untuk mempertingkatkan kemudahan sukan termasuk membina fasiliti gimnasium di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Sungai Besi, sebagai usaha menyokong pemulihan gaya hidup sihat dalam kalangan penghuni.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata perancangan tersebut menyusuli keputusan untuk membina sebuah gimnasium di PUSPEN Dengkil sebelum ini.

“Kita sedang rancang untuk membina gim luar (outdoor gym) di PUSPEN Sungai Besi. Kalau lihat di sini ada padang, tetapi untuk bermain di padang memerlukan pasukan. Tidak semua penghuni boleh bermain secara berkumpulan setiap masa. Oleh itu, fasiliti gim membolehkan mereka bersenam secara individu dan konsisten,” katanya selepas lawatan rasmi ke PUSPEN Sungai Besi, di sini.

Hannah turut memaklumkan KBS telah berbincang dengan Jawatankuasa Menangani Dadah yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, bagi merealisasikan inisiatif berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, KBS juga akan bekerjasama dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk memperluas maklumat awam mengenai program pemulihan PUSPEN melalui penayangan video kesedaran di skrin besar di Stadium Nasional Bukit Jalil dan Litar Antarabangsa Sepang ketika penganjuran acara sukan.

Langkah itu bertujuan memaklumkan orang ramai tentang lokasi dan kaedah mendapatkan rawatan serta bantuan pemulihan dadah.

“Golongan belia tidak perlu takut atau malu untuk tampil mendapatkan bantuan secara sukarela melalui AADK di PUSPEN,” ujar Hannah.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN