fb fb fb fb fb

MARA rancang tubuh hospital sendiri, kaji potensi berdasarkan kejayaan U.n.i Klinik

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki (kiri) melihat prasarana kelengkapan merawat pesakit pada perasmian U.n.i Klinik Metrocity, di Kuching / Foto Bernama

KUCHING, 20 Mei – Majlis Amanah Rakyat (MARA) berhasrat memperluas penyertaannya dalam sektor kesihatan menerusi cadangan penubuhan hospital MARA sendiri, susulan kejayaan Program Pembangunan Usahawan Profesional (ProSPEC) dalam bidang perubatan.

Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata Majlis MARA telah diarahkan untuk menjalankan kajian terperinci dan menyeluruh berkenaan cadangan tersebut.

“Prestasi positif U.n.i Klinik, farmasi dan klinik pergigian yang kini berjumlah 140 cawangan di seluruh negara menjadi pencetus kepada idea ini. Sebagai contoh, 98 buah U.n.i Klinik yang beroperasi sejak 2018 telah merekodkan jualan mencecah RM220 juta,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan pembukaan U.n.i Klinik di Metrocity, di sini hari ini.

Beliau menyifatkan sudah tiba masanya untuk MARA meneliti potensi penubuhan hospital sendiri demi memperkukuh peranan dalam sektor kesihatan negara.

Dalam perkembangan lain, Datuk Dr. Asyraf menegaskan MARA kini mengambil pendekatan lebih tegas terhadap peminjam yang culas melunaskan pinjaman institusi itu.

Katanya, peminjam bagi tujuan perniagaan atau pendidikan yang gagal membayar ansuran lebih daripada tiga bulan akan diberikan notis peringatan.

“Langkah ini memberi isyarat jelas bahawa MARA serius dalam mendapatkan semula bayaran pinjaman agar dana yang ada dapat dimanfaatkan semula oleh usahawan dan pelajar lain,” ujarnya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN