fb fb fb fb fb

Azalina cadang had usia persaraan dinaikkan kepada 65 tahun

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said / Foto RTM

PUTRAJAYA, 20 Mei – Kerajaan disaran mempertimbangkan semula had usia persaraan wajib di Malaysia daripada 60 kepada 65 tahun selaras dengan realiti semasa dan peningkatan jangka hayat rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ramai rakyat Malaysia yang berusia 60 tahun ke atas masih sihat, aktif dan berupaya menyumbang kepada pembangunan negara.

"Ramai golongan berusia 60 tahun ke atas masih aktif sekarang dan ramai di antaranya masih kelihatan muda."

"Masih muda dan bertenaga walaupun telah mencapai usia warga emas. Peratusan mereka yang berusia lebih 60 tahun semakin meningkat."katanya demikian ketika ditemui media pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2024 dan Jasamu Dikenang Kluster Undang-undang dan Reformasi Institusi di sini.

Azalina berpandangan, usia persaraan bagi hakim mahkamah di Malaysia kini ditetapkan pada 65 tahun, justeru beliau berpendapat had usia persaraan yang sama juga wajar dipertimbang bagi sektor lain.

"Mungkin sudah tiba masanya kerajaan mempertimbangkan semula had umur persaraan, agar lebih selari dengan realiti semasa. Namun begitu, ini hanyalah pandangan peribadi saya dan bukan mewakili pendirian rasmi kabinet."

Tambah beliau, beberapa negara lain telah menetapkan had usia persaraan sehingga 65 tahun, malah ada yang membenarkan penjawat awam, termasuk hakim, untuk terus berkhidmat sehingga usia 70 tahun.

“Saya telah mengunjungi beberapa negara ASEAN bersama para Menteri Undang-Undang, dan apa yang menarik perhatian saya ialah ramai hakim mereka masih berkhidmat walaupun telah berusia 70 tahun.

“Mereka berkongsi pandangan bahawa pengalaman itu sangat penting dan usia 60 tahun kini tidak lagi dianggap tua — malah ramai yang masih kelihatan muda dan bertenaga,” jelasnya.

Azalina turut menegaskan bahawa potensi warga emas yang masih aktif dan produktif seharusnya tidak disia-siakan hanya kerana wujudnya had umur persaraan sedia ada.

“Sayang sekali jika potensi mereka tidak dimanfaatkan sepenuhnya kerana wujudnya jurang dari segi umur persaraan. Apabila saya berbual dengan ramai Menteri ASEAN, mereka berkongsi bahawa hakim-hakim di negara mereka bersara pada usia 70 tahun.

“Ini menunjukkan bahawa usia tersebut masih dianggap produktif dan tidak terlalu tua untuk berkhidmat,” ujarnya.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD