PUTRAJAYA, 20 Mei – Seramai 65.16 peratus warga emas yang mempunyai penyakit komorbid telah menerima suntikan vaksin influenza di bawah Program Imunisasi Influenza Warga Emas sejak ia dilancarkan pada 18 Februari lalu.
Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan (KKM), program itu masih mempunyai 56,237 slot janji temu vaksinasi yang tersedia dan suntikan boleh diperoleh di fasiliti kesihatan kerajaan sehingga akhir Ogos 2025.
“Sebanyak 649 Klinik Kesihatan (KK) terpilih di seluruh negara menawarkan perkhidmatan ini secara percuma, yang meliputi kos vaksin, peralatan serta khidmat kesihatan berkaitan,” menurut kenyataan itu.
Janji temu boleh dibuat melalui aplikasi MySejahtera, manakala bagi warga emas yang tidak mempunyai akses digital, pendaftaran secara fizikal atau walk-in juga dibenarkan, tertakluk kepada kekosongan slot.
Orang ramai juga disarankan untuk menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah berdekatan, melayari portal rasmi atau media sosial KKM, atau hadir sendiri ke klinik terlibat untuk mendapatkan maklumat lanjut.
KKM turut menyeru agar warga emas yang hadir untuk rawatan susulan penyakit kronik agar bertanya tentang kelayakan menerima vaksin, sekiranya belum ditawarkan.
Pemberian vaksin itu penting bagi mencegah komplikasi serius akibat jangkitan influenza serta mengurangkan kadar kemasukan ke hospital, khususnya dalam kalangan pesakit diabetes, penyakit jantung, pernafasan kronik dan tekanan darah tinggi.
“KKM komited menyediakan perkhidmatan kesihatan yang mampan dan inklusif, agar tiada golongan warga emas khususnya yang tinggal di luar bandar, tercicir daripada menerima perlindungan sewajarnya,” kata kenyataan itu.