TANJUNG MALIM, 26 November- Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Sambutan Deepavali 2023 Peringkat Negeri Perak di Dewan Seri Tanjung, Majlis Daerah Tanjung Malim.
Keberangkatan Baginda disambut Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad bersama exco dan barisan pemimpin negeri.
Majlis anjuran kerajaan negeri itu dimeriahkan dengan kehadiran lebih 5,000 pengunjung dari serata negeri Perak dan diserikan dengan persembahan kebudayaan masyarakat India.
Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada 53 anak yatim daripada beberapa pertubuhan badan kebajikan.
Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Saarani dalam sembah ucapannya turut menyatakan kerajaan negeri akan sentiasa berikhtiar bagi memastikan agenda Pelan Perak Sejahtera 2030 akan terus dipergiat.
Ia bagi memacu ekonomi dan memakmurkan negeri agar rakyat tanpa mengira sempadan kaum dan agama dapat merasai kemanisan kemajuan.
Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.