TANJONG MALIM, 24 April- Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Peletakan Batu Asas bagi Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (IPTTI) dan UPSI Residential and Community Centre (URCC) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Baginda menandatangani peletakan batu asas berkenaan di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City.
Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff dalam ucapan aluannya berkata IPTTI ditubuhkan bagi menjunjung hasrat Duli-Duli Tuanku yang cakna terhadap perkembangan dasar serta transformasi pendidikan tahfiz dan turath Islami yang selaras dengan perkembangan terkini.
Dengan tajaan hampir RM14 juta dari Yayasan Rafulin dan pelbagai pihak, katanya, institut ini bakal menjadi sebuah institusi penyelidikan dan pendidikan antarabangsa yang merangka dasar-dasar terkini dalam bidang tahfiz dan turath, mempelopori pedagogi yang berteraskan teknologi semasa, serta menjadi markas diskusi ilmu tahfiz dan turath di peringkat antarabangsa.
IPTTI adalah penjenamaan semula Akademi Pondok Bitara yang bangunannya dibangunkan sepenuhnya menerusi dana wakaf melalui inisiatif Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS UPSI).
Gagasan penubuhan IPTTI bermula dengan cetusan idea Mantan Naib Canselor UPSI, Allahyarham Prof Dr Zakaria Kasa untuk mewujudkan Akademi Pondok Bitara sebagai usaha untuk memperkasakan pendidikan pondok yang memberikan penekanan kepada Pendidikan Ilmu Turath (Kitab Kuning) dalam konteks pendidikan sepanjang hayat dan memberikan tempat kepada pelajar lepasan pondok yang mempunyai pencapaian cemerlang menerusi pensijilan yang akan ditawarkan.
“Institut ini juga akan membantu pemuliharaan manuskrip dan kaedah pembelajaran kitab-kitab turath yang penulisannya mengikut tradisi ulamak terdahulu dari zaman imam-imam besar seperti Imam Shafie, Imam Malik, Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad, malah akan bekerjasama erat dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak yang sedang giat memulihara khazanah ulamak nusantara.
Manakala URCC pula adalah sebuah projek pembinaan asrama pelajar, Pusat Antarabangsa dan Mobiliti, Pusat Kemahiran Bahasa, ruang-ruang sokongan dan infrastruktur luaran di Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS).
Projek URCC bertujuan menampung keperluan fizikal pelajar yang makin meningkat seiring dengan jumlah kemasukan pelajar yang tidak lagi dapat ditampung oleh kolej-kolej kediaman dan mampu menampung lebih 2,000 pelajar antarabangsa dan tempatan selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam melestarikan dunia Pendidikan Tinggi negara.
Beliau berkata UPSI mengukir pencapaian cemerlang apabila baru-baru ini diumumkan menduduki ranking 151-200 dalam subjek pendidikan menurut QS World University Rankings 2024.
Baru-baru ini UPSI menubuhkan Sekolah Rendah Seri Budiman (SRSB) sebagai langkah progresif universiti ini dalam menerajui bidang pendidikan.
Hadir sama Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Datuk Azmir Shah Zainal Abidin; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak Darul Ridzuan, Khairudin Abu Hanipah; Pro Canselor UPSI, Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Sri Dr Zakri Abdul Hamid serta Pengerusi Lembaga Pengarah UPSI, Puan Sri Rohani Parkash Abdullah.
Selepas majlis peletakan batu asas, turut diadakan Majlis Sambutan Hari Raya UPSI yang dihadiri lebih 5,000 kakitangan dan mahasiswa.