fb fb fb fb fb

Nahas helikopter, jenazah Mohd Shahrizan selamat dikebumikan di Lekir

Foto RTM

MANJUNG, 24 April- Jenazah Allahyarham Mohd Shahrizan Mohd Termizi yang merupakan salah seorang daripada 10 mangsa nahas helikopter TLDM selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 10, Lekir pada pukul 9.30 malam tadi.

Terdahulu, jenazah tiba di kediaman keluarganya pada pukul 7.38 malam untuk penghormatan terakhir oleh ahli keluarga, saudara-mara dan sahabat handai.

Jenazah kemudian sekali lagi disembahyangkan di Masjid Al-Khairiah Batu 10, Lekir sebelum dikebumikan di tanah perkuburan tersebut.

Suasana sedih menyelubungi tanah perkuburan sebaik talkin dibacakan Pegawai KAGAT TLDM, Mejar Mohd Hasrul Hashim.

Istiadat pengebumian berakhir dengan penyerahan Ensign TLDM daripada Pegawai Waran I, Saiful Noorhaizam Mohd Noor kepada ahli keluarga Allahyarham sebagai simbolik pengorbanan Allahyarham ketika berkhidmat dengan TLDM.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir Komander Pangkalan Lumut, Laksamana Pertama Haji Jamaludin Haji Sairi.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM