fb fb fb fb fb

Sultan Nazrin berkenan berangkat ke Sambutan Hari Pahlawan 2022 negeri Perak

Sultan Nazrin Shah berkenan memeriksa perbarisan kawalan kehormat pada Sambutan Hari Pahlawan
Tahun 2022 Negeri Perak Darul Ridzuan di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini/ BERNAMA)

IPOH, 31 Julai - Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan menghadiri Sambutan Hari Pahlawan Tahun 2022 Negeri Perak di Dataran Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini.

Ketibaan baginda pada pukul 9 pagi diiringi Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Dihilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Turut hadir, Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid.

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu kebesaran negeri Perak diikuti pemeriksaan kawalan kehormatan oleh Sultan Nazrin yang terdiri daripada tiga pegawai kanan dan 102 pegawai rendah polis dari Batalion 1 Pasukan Gerakan Am dipimpin DSP Md Shazni Md Shariff selaku pegawai baris manakala pegawai pembawa panji-panji adalah Insp Mohd Izar Ramli.

Sebaik kawalan kehormatan selesai, tiupan Paluan Akhir dimainkan dan Jalur Gemilang kemudian diturunkan.

Majlis kemudian diteruskan dengan bacaan doa khas Hari Pahlawan oleh ASP Mohd Mahyuddin Mohd Mokhtar dari Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh dan diikuti deklamasi sajak bertajuk Pahlawanku yang dideklamasikan oleh ASP Ahirrudin Mat Saad yang juga pegawai dari Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am.


(Deklamasi sajak bertajuk Pahlawanku yang dideklamasikan
ASP Ahirrudin Mat Saad/ FB Penerangan Perak Page)

Sebaik selesai, tiupan rouse kemudian dimainkan dan Jalur Gemilang dinaikkan semula diikuti lagu kebesaran negeri Perak sebelum kawalan kehormatan keluar perbarisan menandakan penamat upacara.

Sultan Nazrin kemudian berkenan berangkat ke Majlis Santapan dan menyaksikan beberapa persembahan nyanyian dan pentomen di Dewan Bankuet sebelum berangkat pulang.- BERNAMA

Media Baharu