fb fb fb fb fb

Enam kontinjen meriahkan Perbarisan Hari Pahlawan 2022

(Istiadat perbarisan disempurnakan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah)

PUTRAJAYA, 31 Julai- Istiadat Perbarisan Hari Pahlawan Tahun 2022 meriah dengan perbarisan statik yang dibarisi kontinjen Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) di samping kontinjen Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) dan kontinjen Pesara Polis dan Bekas Polis Malaysia (PBPM).

Dengan kekuatan 66 pegawai dan 1,055 anggota lain-lain pangkat daripada ATM dan PDRM, acara bermakna ini menggamit semangat Keluarga Malaysia dalam mengenang perjuangan wira-wira negara.

Istiadat perbarisan disempurnakan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Perbarisan diketuai Pegawai Memerintah Batalion Kesepuluh Rejimen Askar Melayu Diraja (10 RAMD), Leftenan Kolonel Muhammad Ikhwan Hussin.

Kekuatan dalam perbarisan melibatkan 54 pegawai dan 830 anggota lain-lain pangkat daripada ATM dan PDRM terdiri daripada 4 pegawai dan 82 anggota PDRM serta 152 veteran daripada PVATM dan PBPM.

(Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah)

Turut ditampilkan dalan istiadat ini, alunan deklamasi sajak berjudul ‘Pahlawan’ yang disampaikan oleh Koperal Udara Mohamad Ramdan Akmal Md Jamal daripada ATM serta Sarjan Roseshini Binti Kasim daripada PDRM.

Kemuncak acara ialah persembahan pantomim mengisahkan pengorbanan pejuang ATM dalan pertempuran di Bakara Market, Somalia yang berlaku pada 3 dan 4
Oktober 1993 di tengah-tengah kota Mogadishu.

Hari Pahlawan disambut pada 31 Julai setiap tahun, bertujuan memperingati dan menghargai semangat keberanian di samping menghargai jasa para perwira dan perajurit dalam pasukan keselamatan negara sama ada ATM mahupun PDRM terutama mereka yang gugur demi mempertahankan keamanan serta kedaulatan tanah air Malaysia.

(Hari Pahlawan disambut pada 31 Julai setiap tahun. Selamat Hari Pahlawan)

Media Baharu