fb fb fb fb fb

Sultan Nazrin berangkat ke majlis sambutan Hari Pahlawan Negeri Perak

IPOH, 31 Julai- Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke majlis sambutan Hari Pahlawan peringkat negeri Perak di Dataran Perak Darul Ridzuan, Ipoh.

Turut berangkat, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Dihilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid.

Sambutan bermula 9.00 pagi dengan nyanyian lagu kebesaran negeri Perak diikuti pemeriksaan kawalan kehormatan oleh Sultan Nazrin yang terdiri daripada tiga pegawai kanan dan 102 pegawai rendah polis dari Batalion 1 Pasukan Gerakan Am dipimpin DSP Md Shazni Md Shariff selaku pegawai baris manakala pegawai pembawa panji-panji adalah Insp Mohd Izar Ramli.

Sambutan diteruskan dengan tiupan Paluan Akhir dimainkan dan Jalur Gemilang kemudian diturunkan.

ASP Mohd Mahyuddin Mohd Mokhtar kemudiannya mengetuai bacaan doa khas Hari Pahlawan diikuti deklamasi sajak bertajuk Pahlawanku  oleh ASP Ahirrudin Mat Saad.

Jalur Gemilang dinaikkan semula diikuti lagu kebesaran negeri Perak sebelum kawalan kehormatan keluar perbarisan menandakan penamat upacara.

Sambutan berakhir dengan persembahan nyanyian dan pentomen sebelum keberangkatan pulang Sultan Perak.


(Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersama dif-dif kehormat berdiri bagi menghormati lagu kebesaran negeri Perak)

Media Baharu