fb fb fb fb fb

Cubaan masuk Malaysia guna laluan tidak sah, 31 pati warga Myanmar ditahan

BUKIT KAYU HITAM, 31 Julai- Cubaan 31 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Myanmar untuk masuk ke negara melalui jalan tidak sah di sempadan Malaysia-Thailand, gagal.

Mereka diberkas Tentera Darat bersama Pasukan Gerakan Am dari Markas Briged Keenam Infantri Malaysia di kawasan ladang getah, pagi tadi.

Pergerakan kesemua PATI dikesan oleh Pasukan Ronda Pos 8 yang sedang bertugas di lokasi.

"Kesemua PATI melalui lubang pagar berhampiran pintu sempadan dan cuba bersembunyi di kawasan semak.

Hasil pemeriksaan mendapati kesemua mereka berusia antara 18 hingga 44 tahun dan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah," kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Markas Briged Keenam Infantri Malaysia di laman Facebooknya.

Individu yang ditahan termasuk 10 wanita, diserahkan kepada polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut.

Turut dirampas , tiga buah telefon bimbit, wang tunai dalam mata wang Malaysia dan Thailand bernilai RM967 serta 31 beg pakaian dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan RM2,467.

Pasukan beroperasi akan terus mempertingkatkan kawalan di sempadan negara bagi mengekang kemasukan PATI dan sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan.


(Foto FB Markas Briged Keenam Infantri Malaysia)

Media Baharu