TUMPAT, 24 April- Seramai 250 asnaf sekitar daerah itu terpilih menerima sumbangan dalam bentuk kewangan yang disampaikan oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V di Padang Kemahkotaan, di sini, hari ini.
Keberangkatan keluarga Diraja Kelantan dalam 'Program Hari Raya With Me' serta kurniaan sumbangan hari raya mengujakan rakyat Tumpat.
Baginda tiba jam 6.25 petang tadi bersama pasangan, Sultanah Kelantan Nur Diana Petra Abdullah.
Terdahulu ketibaan keluarga diraja itu dimulakan dengan Tengku Bendahara Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra diikuti Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis almarhum Tengku Abdul Hamid; Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra dan pasangan, Che Puan Mahkota Kelantan, Sofie Louise Johansson.
Kira-kira 3,000 rakyat Tumpat dan sekitar hadir pada majlis itu dan dijamu dengan aneka juadah serta dihiburkan dengan persembahan kebudayaan negeri itu.
Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, dalam sembah ucapan berkata, "kehadiran rakyat jelata ke Padang Kemahkotaan adalah cerminan penzahiran kasih sayang dan ketaatan kepada pemerintahan Sultan Kelantan."
Beliau turut berharap agar pemerintahan Sultan Muhammad V terus dirahmati dan diberkati Allah.
(Sultan Muhammad V tiba di Padang Kemahkotaan, Tumpat)