fb fb fb fb fb

Sultan Kedah titah Ahli Jemaah Dato’-Dato’ Negeri Kedah ceburi bidang inovasi sosial bantu rakyat

FOTO FB Kedah Royal Family

ALOR SETAR, 12 November- Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin ibni almarhum Sultan Badlishah menyarankan agar Ahli Jemaah Dato’-Dato’ Negeri Kedah dapat mempelopori aspek inovasi sosial yang boleh memberi penyelesaian secara mampan dan berkesan kepada cabaran utama yang dihadapi oleh rakyat.
 
Titah baginda, antara bidang inovasi sosial tersebut ialah pemuliharaan alam sekitar, pembasmian kemiskinan dan jaminan pemakanan.
 
Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin bertitah, selain itu turut disarankan adalah pemeliharaan dan memartabatkan sejarah, budaya dan warisan Kedah, penjagaan kesihatan untuk semua, pendidikan untuk golongan terpinggir, serta penghapusan jurang digital dalam kalangan ahli perniagaan dan rakyat di negeri Kedah.
 
Sehubungan itu, baginda menyeru kepada semua Ahli Jemaah Dato’-Dato’ Negeri Kedah untuk terus bekerjasama menggembleng tenaga, buah fikiran, pengalaman dan rangkaian dalam merancang serta melaksanakan semua usaha murni tersebut demi kesejahteraan rakyat di negeri jelapang padi itu.
 
Titah baginda, Ahli Jemaah Dato’-Dato’ Negeri Kedah terdiri daripada individu-individu yang mempunyai pendidikan, pengalaman, serta rangkaian yang luas dalam bidang masing- masing dan telah terbukti mampu berbakti kepada rakyat, justeru pengalaman serta rangkaian yang luas itu dapat digemblengkan untuk terus menabur bakti kepada rakyat di Kedah dan Malaysia.
 
Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin bertitah demikian pada Majlis Jamuan Jemaah Dato’-Dato’ Negeri Kedah Sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Tuanku Sultan Kedah Ke-81 di Dewan Santapan Utama, Istana Anak Bukit, Alor Setar, malam semalam.
 
Turut berangkat, Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Almarhum Tengku Ariff.
 
Berangkat sama, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin dan Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff;  Tunku Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Ariff Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin dan Tunku Puan Mahkota Kedah, Che Puan Nur Julie Ariff.
 
Hadir sama, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE