ALOR SETAR, 18 Jun-Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin ibni almarhum Sultan Badlishah berkenan menganugerahkan Darjah-serta Bintang kebesaran kepada 243 penerima sempena sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Baginda yang ke 81.
Istiadat penganugerah berlangsung di Istana Anak Bukit, Alor Setar, pagi tadi.
Mendahului senarai penerima, Tunku Puan Mahkota Kedah, Che Puan Nur Julie Ariff yang menerima Darjah Seri Setia Sultan Sallehuddin Kedah Yang Amat Dihormati (SSSK) yang membawa gelaran Dato’ Seri Diraja.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Norizan Khazali pula menerima Darjah Seri Setia Diraja Kedah Yang Amat Dihormati (SSDK) yang membawa gelaran Dato’ Seri.
Orang Besar Lapan membawa gelaran Dato’ Seri Setia Diraja pula dianugerahkan kepada Dato’ Pengelola Bijaya Diraja, Dato’ Paduka Bakar Din.
Pegawai Kewangan Negeri Kedah, Datuk Isahak Murat antara dua individu yang menerima Darjah Gemilang Wira Mahkota Kedah Yang Amat Dihormati (DGWK) yang membawa gelaran Dato’ Wira.
Ketua Pegawai Eksekutif LSP Sdn Bhd, Dato’ Vijayasundram Jeyabalan pula individu tunggal menerima Darjah Gemilang Wira Mahkota Kedah Yang Amat Dihormati (DGWK) (Kehormat) yang membawa gelaran Dato’ Wira.
Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Indera Muhamad Norazlan Aris, antara 2 individu menerima Dato’ Setia Pahlawan Negeri Kedah Yang Amat Dihormati (DSPK) membawa gelaran Dato’ Pahlawan.
Sementara itu, dua individu menerima Darjah Dato’ Setia Sultan Sallehuddin Kedah (DSSS) yang membawa gelaran Dato’.
11 individu menerima Darjah Dato’ Setia Diraja Kedah (DSDK) yang membawa gelaran Dato’; dan 2 individu menerima Darjah Dato’ Setia Pahlawan (DDSP) yang membawa gelaran Dato’.
Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin turut memperkenankan penganugerahan bintang-bintang dan pingat-pingat kebesaran iaitu Setia Sultan Sallehuddin (SSS) 2 penerima Setia Diraja Kedah (SDK), 12 Ahli Mahkota Kedah (AMK), 35 Ahli Setia Pahlawan (ASP), 6 Bintang Perkhidmatan Cemerlang Kedah (BCK), 26 Bintang Kebaktian Masyarakat (BKM), 40 Pingat Jasa Kebaktian (PJK), 35 Pingat Perkhidmatan Cemerlang Kedah (PCK) 52, dan Pingat Perkhidmatan Lama (PPL), 12 penerima.
Berangkat sama ke istiadat hari ini Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tengku Ariff, Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Raja Puan Muda Kedah Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff.
Turut hadir, Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan isteri Tok Puan Jusmalailani Jusoh.
(FOTO BERNAMA)