(Timbalan Menteri Perladangan dan
Komoditi, Datuk Siti Aminah Aching)
KUALA LUMPUR, 18 Jun- Ekspo Kayu Malaysia 2023 (MWE 2023) bakal menjadi pemangkin, menarik lebih banyak pelaburan dalam industri perkayuan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof optimis ekspo perdagangan yang berlangsung bermula hari ini hingga Selasa nanti, merupakan platform rangkaian terbaik kerana menggabungkan pengilang, pengimport dan pengeksport bawah satu bumbung.
"Saya ingin meyakinkan pembeli dan pengunjung antarabangsa bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang mesra pelaburan.
"Pemacu ekonomi negara, terutamanya industri pembuatan dan telah menjalani transformasi berdaya teknologi yang membolehkan perniagaan berkembang dan menjana aliran pendapatan baharu," katanya.
Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata demikian pada Pelancaran MWE 2023, di sini hari ini.
Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Siti Aminah Aching.
Ekspo edisi ke-2 itu melibatkan 120 pempamer dari 11 negara yang akan berkongsi trend dan perkembangan pasaran semasa industri perkayuan.
(MWE berlangsung bermula hari ini hingga 20 Jun)