JOHOR BAHRU, 18 Jun- Bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) tahun ini, menjadi pemberian terbesar iaitu sebanyak RM2,500 kepada setiap penerima.
Ia melibatkan jumlah keseluruhan RM2.14 bilion, yang memberi manfaat kepada 8.4 juta penerima.
Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata pemohon perlu mengemas kini maklumat mereka di kaunter Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ataupun secara dalam talian.
Orang ramai yang ditolak permohonan, boleh mengemukakan rayuan bermula 1 Julai ini.
"Jumlah penerima Sumbangan Tunai Rahmah fasa tiga, 8.4 juta orang dengan jumlah RM2.14 bilion.
"Jadi kerajaan berharap dengan adanya Sumbangan Tunai Rahmah yang akan dikeluarkan dan diberi sebelum Hari Raya Haji ini, kita dapat membantu mengembirakan sedikit sebanyak rakyat," katanya.
(Datuk Seri Ahmad Maslan)
Beliau bercakap kepada pemberita selepas membuat lawatan di Wisma Bank Simpanan Nasional (BSN), di sini hari ini.
Sumbangan fasa tiga itu akan dibahagikan mengikut tiga kategori iaitu isi rumah, warga emas tiada pasangan dan golongan bujang.
BSN beri pembiayaan tertinggi, bantu PMKS
Dalam pada itu, Ahmad Maslan berkata sebanyak RM1.6 bilion disalurkan kepada 72,000 pelanggan melalui Pembiayaan Perniagaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) oleh Bank Simpanan Nasional (BSN), sejak tahun 2020.
BSN memberi pembiayaan tertinggi iaitu sebanyak 40.2 peratus.
Inisiatif tersebut telah membantu syarikat PMKS, sekali gus membuka 600,836 peluang pekerjaan kepada rakyat.
Terbaharu, Skim Mikro Kasih turut diperkenal, dengan pembiayaan RM900 juta.
"Saya ingin ulangi bahawa pinjaman sebanyak RM5,000 hingga RM50,000 dan antara syarat adalah sudah ada perniagaan enam bulan dan akaun bank juga enam bulan," katanya
Skim Mikro Kasih terbahagi kepada tiga kategori iaitu Skim Mikro Kasih Belia, Skim Mikro Kasih Penjaja, Peniaga Kecil dan Skim Mikro Kasih Wanita.