TUMPAT, 18 Jun-Kerajaan memberi jaminan tidak akan berlaku zalim dan menafikan hak rakyat dalam menyalurkan bantuan kepada negeri pembangkang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun berbeza politik tetapi rundingan dan perbincangan tetap diadakan untuk menyalurkan pelbagai peruntukkan kepada Kelantan.
Menurutnya, Kelantan merupakan antara negeri yang menerima peruntukan paling besar dalam Belanjawan Madani yang turut dinikmati negeri pembangkang lain antaranya Kedah.
Menerusi belanjawan Madani, semua projek di negeri berkenaan diteruskan.
Antaranya projek tadahan air, naik taraf jalan Pak Badol ke Melor, pembinaan Jambatan Palekbang termasuk beberapa projek baharu Sungai Golok.
"“Peruntukan sejumlah RM103,863,258 turut disalurkan kepada golongan imam, bilal, siak, guru takmir dan guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di negeri ini,” katanya pada Majlis Penyerahan Sumbangan Perdana Menteri bagi Projek Menyiapkan Masjid At-Taqwa Alor Pasir di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.
Dalam majlis tersebut, Perdana Menteri menyalurkan peruntukan sebanyak RM7.76 juta untuk menyiapkan Masjid At-Taqwa Alor Pasir.
Dalam pada itu, rata-rata penduduk di kampung Alor Pasir, Tumpat berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana cakna akan kebajikan rakyat dan memberi peruntukan besar bagi menyiapkan masjid di kampung berkenaan.
(FOTO BERNAMA)