fb fb fb fb fb

Pembinaan KXP ubah landskap ekonomi Kedah

ALOR SETAR, 18 Jun - Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berharap agar cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dapat direalisasikan.
 
Baginda bertitah, amat mustahak bagi negeri Kedah untuk memiliki sebuah lagi lapangan terbang antarabangsa berasaskan kargo bagi memudahkan pergerakan keluar masuk barangan dan eksport ke luar negeri.

Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin bertitah, perancangan pembangunan KXP dalam kerangka pembangunan Kedah Aerotropolis akan memenuhi kehendak tersebut dan bertindak sebagai “game changer” yang akan mengubah landskap ekonomi ke tahap yang lebih ampuh.
 
Terus mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi negeri yang kini sedang berkembang pesat, baginda percaya terdapat keperluan mendesak untuk memperkasakan jaringan infrastruktur pengangkutan dan perhubungan negeri.
 
Hal ini adalah kerana apabila pengeluaran dalam negeri dan wilayah bertambah, kapasiti semasa jaringan infrastruktur pengangkutan dan perhubungan negeri pasti tidak akan mencukupi 
"Beta menyeru agar projek KXP yang menjadi sebahagian daripada Kedah Aerotropolis diberi layanan dan perhatian yang adil dan sewajarnya daripada pihak-pihak terlibat agar ia dapat direalisasikan demi kebaikan negeri, negara dan rakyat," titah baginda.

Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin bertitah demikian sempena Hari Keputeraan Baginda yang ke-81 di Istana Anak Bukit, di sini

(Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada
Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-Darjah serta Bintang-Bintang Kebesaran
sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-81 di Istana Anak Bukit, di sini)

Dalam titah ucapan sama, baginda berpendapat hasrat berkenaan akan dapat disegerakan sekiranya Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dapat bekerjasama dan pucuk pimpinan mampu mengenepikan perasaan peribadi dalam mentadbir hal ehwal berkaitan pembangunan.

 Titah baginda, amatlah rugi sekiranya projek pembangunan ini tidak dilaksanakan hanya disebabkan perbezaan pandangan dan pemahaman politik antara pemimpin-pemimpin di peringkat negeri dan persekutuansehingga membelakangkan keperluan negeri dan negara yang jauh lebih
mustahak.

Sementara itu, Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah perkenan mewujudkan Tabung Amanah Sultan Kedah (TASK), bagi membantu meringankan beban rakyat miskin disamping bertujuan mengimbangi pengagihan ekonomi lebih adil dan saksama.
 
Baginda juga mahu menjadikan TASK sebagai sebuah wadah untuk semua pihak bersama-sama berganding bahu, berbakti dan berbudi kepada golongan yang memerlukan.
 
"Sesungguhnya sedekah ini bukan sekadar membantu keluarga denganmemberi pakaian, makanan dan minuman, malah diharapkan ianyadapat memberi peluang yang lebih cerah kepada anak-anak keluargatersebut untuk maju dalam pendidikan," titah baginda.

Baginda bertitah, bagi mewujudkan sebuah negeri yang memiliki pengagihan ekonomi yang adil dan saksama, ekonomi rakyat jelata khususnya melibatkan kelompok miskin perlu diberi perhatian.
 
Purata pendapatan isi rumah bagi penduduk di daerah Baling, Pendang, Padang Terap dan Yan masih berada pada tahap rendah dan belum mencecah purata melebihi RM4,800.
 
Sebagai perbandingan purata pendapatan isi rumah bagi negeri Kedah adalah RM5,522, manakala, nasional pula jauh lebih tinggi pada purata RM7 ,901.
 
Sehubungan itu, baginda mahu semua pihak bersama-sama berganding bahu dalam memperbaiki situasi ini.   

Media Baharu