fb fb fb fb fb

Sultan Johor berkenan lawat tapak projek RTS

Foto FB Sultan Johor

SINGAPURA, 21 Julai- Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan berangkat melawat tapak projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link di Terminal Woodlands North, Singapura.

Baginda turut berkenan meninjau perkembangan semasa projek berkenaan serta kemajuan kerja-kerja dilakukan.

Keberangkatan tiba Sultan Johor dan delegasi disambut Menteri Pengangkutan Singapura, S. Iswaran.

"RTS Link bukan sahaja memberi manfaat kepada sosio ekonomi, mengubah landskap pengangkutan awam di Johor malah akan mengeratkan hubungan diplomatik dengan Singapura," titah baginda dalam Facebook rasminya.

Ia merangkumi pembinaan laluan sepanjang empat kilometer menghubungkan Terminal Bukit Chagar, Johor Bahru dan Woodlands North, Singapura dijangka beroperasi hujung 2026.

RTS Link dijangka mengurangkan kesesakan Tambak Johor sehingga 35% dan mampu menampung sehingga 10,000 penumpang setiap jam.

Kemudahan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) akan ditempatkan di stesen Woodlands North dan Bukit Chagar, dan ketika ini kerja-kerja pembinaan berjalan lancar dengan kontraktor di kedua-dua pihak yakin projek itu mampu disiapkan tepat pada masanya.
 
Bahagian kerja infrastruktur Malaysia, termasuk stesen kereta api, depoh dan 2.7 kilometer jejambat darat dan laut, dikendalikan oleh MRT Corp, anak syarikat Malaysia Rapid Transit System Sdn Bhd.
 
Pembinaan di sebelah Singapura bermula pada Mac 2021.
 
Stesen kereta api itu akan menjadi salah satu yang terbesar di republik itu apabila siap dan akan menyediakan pautan perjalanan yang lancar ke Laluan Thomson-East Coast dan stesen MRT Woodlands North.
 
Rapid Transit System Operations Sdn Bhd (RTSO), usaha sama antara Prasarana Malaysia Bhd dan SMRT Corporation Ltd akan menjadi pengendali pautan metro baharu ini.
 

(Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar diberi taklimat dan penerangan berhubung laporan terkini gerak kerja
projek RTS oleh Menteri Pengangkutan Singapura, S. Iswaran/Foto FB Sultan Johor)
 

Media Baharu