fb fb fb fb fb

Negara Karbon Sifar 2050, komitmen pelaburan luar industri teknologi hijau penting

(Majlis Perasmian Pecah Tanah Kilang Baharu Fasa Dua Samsung SDI Energy Malaysia (SDIEM) di Senawang)

SENAWANG, 21 Julai- Komitmen pelaburan dari negara luar membangunkan industri teknologi hijau seperti kenderaan elektrik (EV) dan fasilitinya, sangat dihargai dalam usaha mencapai Negara Karbon Sifar menjelang 2050.

Ia sebagai platform menjayakan ekosistem industri berkenaan.

Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata peranan dan penglibatan syarikat berteknologi tinggi Samsung SDI Energy Malaysia sebagai perintis peningkatan permintaan dalam industri terbabit, penting.

Sekali gus memenuhi kehendak pasaran global yang kian melonjak.

"Bagi Malaysia industri ini adalah penting sebagai pembangunan ekosistem EV yang komprehensif, saya yakin Keluarga Malaysia akan kekal berdaya saing dan terus menyumbang bersama-sama dalam membangunkan ekonomi negara," katanya.

(FOTO BERNAMA)

Beliau berucap pada Majlis Perasmian Pecah Tanah Kilang Baharu Fasa Dua Samsung SDI Energy Malaysia (SDIEM) menerusi rakaman video, di sini hari ini.

Perdana Menteri turut memaklumkan, pelaburan bangunan SDIEM tersebut dianggarkan berjumlah RM7 bilion dengan kemampuan menghasilkan 800 juta sel bateri EV setahun.

Ismail Sabri juga berkata, pembinaan kilang fasa dua itu yang dijangka beroperasi pada 2025 bakal mewujudkan sebanyak 2,300 peluang pekerjaan kepada warga tempatan.

Malah menyumbang RM6 bilion kepada kadar eksport tahunan Malaysia.

Hadir sama pada majlis tersebut Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, Ketua Pegawai Eksekutif Samsung SDI, Yoon Ho Choi dan Duta Besar Korea, Lee Chi Beom.

Media Baharu