fb fb fb fb fb

HDC sasar 50,000 syarikat memiliki sijil halal menjelang 2030

Foto JAKIM

KUANTAN, 21 Julai- Halal Development Corporation (HDC) menyasarkan sehingga 50,000 syarikat akan menjadi pemegang sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada tahun 2030.

Ketua Pengawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari berkata berdasarkan data Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), hanya kurang daripada 10,000 perniagaan berasaskan halal di negara ini, memiliki sijil halal.

“Berdasarkan data yang kami terima dari SSM di Malaysia ketika ini ada lebih kurang 1.3 juta SME yang berdaftar, daripada jumlah tersebut 200,000 adalah perniagaan berkaitan halal dan daripada jumlah 200,000 itu, kurang daripada 10,000 yang ada sijil halal daripada JAKIM.

Jadi sebenarnya di luar sana ada lebih kurang 190,000 lagi yang terlibat dalam perniagaan berkaitan halal tapi belum mendapat sijil halal,” kata Hairol kepada pemberita RTM ketika sidang media sempena Program Jelajah Halal Malaysia 2022 Peringkat Pahang di Kuantan yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Seri Norolazali Sulaiman.

Justeru, HDC menggalakkan agar lebih ramai usahawan dalam Industri Kecil dan Sederhana (IKS) untuk mendapatkan sijil halal, berikutan pelbagai manfaat boleh diperoleh melaluinya.

Menurut beliau, daripada 10,000 pemegang sijil halal yang direkodkan SSM, 3,000 pengusaha berjaya mengeksport produk mereka hingga ke luar negara.

Pihaknya juga akan membantu pengusaha yang telah memiliki sijil halal untuk meningkatkan kapasiti dan keupayaan dengan menjadikan mereka sebagai pengeksport atau sekurang-kurangnya berupaya masuk ke pasaran tempatan.

“Ini adalah antara usaha yang sedang dilaksana bersama rakan strategik, baik dari kementerian, agensi-agensi di dalam kementerian MITI dan di luar MITI untuk pastikan selepas dapat sijil halal mereka akan terus berkembang masuk ke pasaran-pasaran baru yang lebih luas.

Jadi, dengan cara tersebut mereka lebih konsisten dalam rangkaian bekalan dan akan terus menggunakan halal sebagai satu nilai tambah kepada operasi perniagaan mereka," tambahnya.


(Ketua Pengawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari ditemui pemberita RTM pada 
Program Jelajah Halal Malaysia 2022 Peringkat Pahang di Kuantan)

Media Baharu