fb fb fb fb fb

Sebar iklan palsu sebagai ahli PBPM, PDRM nasihat orang ramai tidak terpengaruh

KUALA LUMPUR, 21 Julai- Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan iklan tawaran palsu keahlian dan penggunaan lambang Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) yang menawarkan pelbagai keistimewaan jika menjadi ahlinya.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Polis Diraja Malaysia (SUPM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin memaklumkan tawaran palsu itu yang tular di media sosial dikenal pasti mempromosikan jualan lambang PBPM serta menawarkan keistimewaan tertentu.

Siasatan kini sedang dijalankan ke atas individu yang bertanggungjawab menyebarkan iklan berkenaan.

"Dengan mengenakan bayaran RM300 bagi 10 kilometer setiap ahli berdaftar akan mendapat keistimewaan perkhidmatan pengiring polis malah pemilik kenderaan juga dibolehkan memasang cermin gelap," kata Noorsiah dalam kenyataan hari ini.

Iklan itu turut mendakwa penggunaan simbol prestij itu dapat mengelak sebarang tindakan oleh pihak berkuasa sekiranya didapati memandu dalam keadaan mabuk.

Beliau mengingatkan orang ramai bahawa polis tidak pernah memberi sebarang kelebihan seperti yang ditawarkan menerusi promosi di media sosial itu.

Orang ramai yang menerima iklan promosi itu diminta untuk tidak terpengaruh dan meminta masyarakat merujuk kepada saluran media rasmi polis bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.


(Foto Fail/BERNAMA)

Media Baharu