KUALA LUMPUR, 21 Julai - Setiap tahun pasti ada umat Islam yang terpedaya dan menjadi mangsa kepada syarikat agensi pelancongan yang licik menawarkan pakej menarik untuk menunaikan haji, menggunakan visa haji furada.
Mangsa yang tertipu bukan sahaja makcik dan pakcik yang tinggal di kampung sehingga sanggup menggadaikan tanah mereka malah terdiri daripada golongan profesional, berpendidikan dan bangsawan.
Adakah kurangnya kesedaran atau pun tidak menyedari kempen yang telah dihebahkan bahawa Tabung Haji (TH) memberikan lesen kepada 22 syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) untuk mengendalikan pakej urusan jemaah haji dan umrah?
“Kami mangsa yang tertipu ni, bukan setakat visa sahaja tak ada, kapal penerbangan pun tak wujud.”
Demikian luahan salah seorang mangsa jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 7 Julai lalu.
Hazi (bukan nama sebenar), 50, dari Selangor mengakui terkilan dan sedih apabila niat suci untuk menunaikan rukun Islam kelima ini tidak kesampaian seperti yang diimpikan oleh umat Islam yang lain.
“Sebenarnya mereka (agensi) bukan tipu kami, tapi mereka tipu Allah. Kami hanyalah manusia yang lemah dan khilaf dan tergamak agensi itu mengambil kesempatan ke atas kami dengan mempergunakan nama Allah.
“Kami bukannya hendak melancong bercuti ke London dan beli-belah di New York tapi kami hendak pergi Mekah menunaikan rukun Islam jadi tetamu Allah,” katanya ketika dihubungi RTM.
Ingin menunaikan haji dalam keadaan sihat tubuh badan menjadi faktor Hazi tertarik dengan pakej yang ditawarkan oleh agensi berkenaan.
Katanya, dia mengetahui tawaran pakej haji furada melalui salah seorang rakannya di media sosial dan dia telah membayar deposit sebanyak RM7,000 kepada agensi berkenaan.
Melalui poster yang diiklankan, agensi berkenaan menawarkan tiga harga pakej haji iaitu menginap di hotel Mekah - Al Massa dan Madinah - Concorde dengan harga bilik untuk empat jemaah ialah RM65,000, bilik untuk tiga jemaah RM75,000 dan bilik untuk dua orang jemaah RM85,000.
Manakala untuk penerbangan, kononnya jemaah dijangka menaiki pesawat Saudi Airline yang dijadual berlepas pada 28 Jun, 3 Julai dan 6 Julai 2022.
Kesemua mangsa tidak menyangka akan terpedaya dengan taktik licik agensi berkenaan kerana mereka turut mengadakan Kursus Pemantapan Haji pada 10 Jun sehingga 12 Jun 2022 di salah sebuah hotel mewah di Shah Alam.
Menurutnya lagi, jemaah yang berdaftar dengan agensi itu turut menjalani pemeriksaan kesihatan, menerima set telekung dari jenama terkenal dan beg bagasi berwarna merah untuk dibawa menunaikan haji.
Katanya lagi untuk meyakinkan para jemaah, agensi berkenaan turut menjemput tokoh agama, untuk memberikan ceramah sepanjang kursus berlangsung selama 3 hari 2 malam.
Hazi berkata, dia tidak pernah berputus asa membuat rayuan kepada TH selama lapan tahun berturut-turut kerana jika mengikut giliran yang ditetapkan oleh TH, Hazi akan menunaikan haji pada tahun 2074 iaitu ketika usianya mencecah 99 tahun.
Malah dia turut berdaftar dengan dua agensi untuk menunaikan haji melalui syarikat PJH yang sah berdaftar dengan TH.
“Untuk tempoh dua bulan saya fokuskan diri untuk ibadah dan saya tinggalkan keseronokan duniawi yang melalaikan. Saya ingin menunaikan haji dalam keadaan saya masih sihat tubuh badan.
“Apabila ingin menunaikan haji, dari segi persiapan rohani, kita akan sucikan jiwa dan didik hati kita untuk perkara-perkara yang baik,” katanya dengan sebak.
Hazi yang selama ini waspada dengan aktiviti penipuan dalam talian tidak mahu perkara yang sama berulang kepada umat Islam yang lain kerana yang tertipu bukan sahaja melibatkan golongan yang berkemampuan malah orang kampung yang sanggup menggadaikan tanah dan harta benda mereka demi menjadi tetamu Allah di tanah suci.
“Saya mula rasa tertipu selepas 5 Julai, saya semak maklumat mengenai penerbangan, visa haji namun semua maklumat tersebut tidak wujud sama sekali.
“Bila kami meminta agensi kemukakan bukti, mereka mengatakan bahawa penerbangan kami adalah penerbangan yang disewa khas maka maklumat penerbangan tidak ditemui secara dalam talian,” kata Hazi.
Manakala Siti Musliha, dari Bachok, Kelantan (bukan nama sebenar), 52, berkata emosinya turut terganggu setelah mendapati dirinya ditipu oleh agensi yang sama.
“Emosi saya cukup terganggu kerana keluarga, saudara mara, rakan-rakan sudah tahu mengenai saya telah ditipu.
“Saya harap kejadian seperti ini tidak berulang kepada umat Islam yang lain, kalau boleh siasat terlebih dahulu agensi yang menawarkan pakej haji furada,” katanya ketika ditemu bual RTM.
Katanya, dia mengetahui tawaran pakej visa haji furada berkenaan melalui salah seorang rakan sepejabatnya pada bulan Mei lalu.
Musliha yang juga kakitangan awam akui tidak mengetahui bahawa Kedutaan Arab Saudi di Malaysia tidak mengeluarkan visa haji bagi musim haji tahun ini.
Terpedaya dengan pakej yang ditawarkan, Musliha mengalami kerugian sebanyak RM16,000.
Antara ayat yang digunakan dalam iklan oleh agensi tidak bertanggungjawab itu adalah:-
“Tidak perlu tunggu giliran, semua boleh pergi menunaikan haji bersama kami. Jangan lepaskan peluang keemasan ini yang mungkin hanya datang sekali dalam hidup anda. Sila daftar segera, kuota adalah terhad tertakluk pada kekosongan.”
(Jemaah dan waris berkumpul di Movenpick, Sepang pada 5 Julai selepas dimaklumkan
penerbangan mereka ditunda pada 7 Julai/FOTO mangsa)
Pada 5 Julai, semua jemaah yang berdaftar di bawah agensi berkenaan diminta hadir ke Hotel Movenpick, Sepang kerana penerbangan terpaksa ditangguhkan atas alasan beberapa jemaah masih belum mendapatkan visa.
Melalui pesanan Whatsapp yang diterima oleh mangsa, pihak agensi tersebut membuat keputusan menangguhkan penerbangan kepada 7 Julai pada pukul 4.30 petang di KLIA.
Menurut mangsa, agensi itu telah membuat penangguhan penerbangan ke Mekah sebanyak lima kali iaitu pada 28 Jun, 4 Julai, 5 Julai, 6 Julai dan 7 Julai 2022.
Para jemaah yang terkandas di Movenpick kononnya akan dihadiahkan menginap di hotel Pullman di Mekah, manakala di Madinah jemaah akan menginap di hotel The Oberoi.
“Ini adalah hadiah daripada syarikat agensi atas pegangan serta keyakinan dan kepercayaan,” menurut agensi itu melalui pesanan Whatsapp kepada jemaah yang tertipu.
Jemaah yang tertipu bukan sahaja terkandas di lapangan terbang dari pagi sehingga malam dan berpakaian ihram, malah visa haji mereka juga tidak diproses oleh agensi itu.
Agensi yang licik itu juga memulangkan pasport jemaah menggunakan perkhidmatan Lalamove ke KLIA dalam sebuah plastik berwarna merah dan jemaah terkejut apabila melihat borang visa mereka kosong dan tidak diproses seperti dijanjikan.
(Pasport jemaah yang terkandas dipulangkan menggunakan perkhidmatan penghantaran Lalamove ke KLIA
serta borang visa yang kosong dan tidak pernah diproses/FOTO mangsa)
Setakat 19 Julai lalu, polis menerima 121 laporan berhubung kes penipuan pakej menunaikan ibadah haji dan umrah menggunakan visa furada terhadap tiga syarikat pelancongan swasta yang melibatkan kerugian lebih RM5.1 juta.
Daripada laporan tersebut, pihak polis telah membuka 22 kertas siasatan berkaitan penipuan itu yang membabitkan 323 mangsa.
Terdahulu, media melaporkan lebih 380 bakal jemaah haji yang menggunakan visa furada terkandas di KLIA dipercayai menjadi mangsa penipuan tiga syarikat agensi pelancongan swasta.
Lima individu terdiri dua lelaki dan tiga wanita ditahan dalam serbuan di beberapa lokasi di ibu negara pada 8 Julai lalu.
Setelah tamat tempoh reman, ke semua suspek yang ditahan ini diserahkan kepada Polis Johor untuk siasatan lanjut berkaitan modus operandi yang sama.
Lagi berita berkaitan:-
Lesen agensi terlibat dalam penipuan visa furada akan dibatalkan - MOTAC
Haji visa furada, orang ramai harus faham konsep
TH nasihat orang ramai tidak terpedaya pakej 'visa furada'
TH terus beri kesedaran risiko tawaran visa furada syarikat tidak berlesen