KUALA LUMPUR, 10 Mei- Sempena sambutan Hari Ibu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada semua wanita bergelar ibu atas jasa, pengorbanan dan kasih sayang yang tidak ternilai.
Dalam titah penuh makna, Seri Paduka Baginda turut mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah serta menzahirkan rasa syukur atas peranan besar Baginda dalam membesarkan anak-anak dengan penuh kasih dan kelembutan.
“Begitu besar pengorbanan serta kasih sayang dicurahkan Raja Zarith dalam membesarkan mereka. Saya sentiasa bersyukur kepada Allah SWT kerana dikurniakan seorang isteri yang amat penyayang kepada anak-anak,” titah Baginda.
Menegaskan penghargaan terhadap ibu bukan sekadar amalan tahunan, Baginda mengingatkan bahawa Islam telah mengangkat kedudukan ibu sebagai insan yang amat mulia.
“Sebagaimana dititikberatkan dalam Al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad SAW bahawa ibu adalah insan yang mulia, diperintahkan Allah untuk berbuat baik kepadanya. Syurga itu juga berada di bawah telapak kaki ibu,” titah baginda.
Sultan Ibrahim turut menitipkan doa agar Allah SWT merahmati roh Almarhumah bonda Baginda, Enche’ Besar Hajah Khalsom Abdullah dan Almarhumah Raja Perempuan Muzwin, dengan membaca Al-Fatihah sebagai tanda ingatan dan kasih yang berkekalan.