KUALA LUMPUR, 10 Mei- Isu ketagihan seksual dan ketagihan gajet kini bukan lagi terhad kepada pelajar sekolah menengah atas, malah mula menular dalam kalangan remaja seawal Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3, mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pihak berkuasa dan ibu bapa.
Justeru itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tampil dengan inisiatif agresif melalui Program Psikologi MADANI bertemakan “Mindset Hebat, Hidup Berkat” yang dilaksanakan selama dua hari di Sekolah Menengah Kebangsaan Panglima Bukit Gantang, Parit Buntar, Perak.
Ketua Pengarah JKM, Datuk Che Murad Sayang Ramjan ketika merasmikan program berkenaan berkata, peningkatan kes dalam kalangan pelajar sekolah menengah rendah adalah petunjuk jelas bahawa intervensi psikososial perlu dilakukan lebih awal, bukan selepas remaja rosak akhlak atau terjebak dalam ketagihan teknologi.
Antara modul utama yang mencuri perhatian dalam program tersebut ialah ceramah bertajuk “Remaja Hebat, Jauhi Maksiat dan Smartphone, Smartkah Anda?” oleh Tuan Akhi Fairuz Al-Jengkawi yang secara terbuka membincangkan perangkap pornografi, ketagihan seksual, dan kecelaruan emosi akibat gajet, topik yang jarang disentuh secara terus dalam persekitaran sekolah.
Turut hadir, Pengarah JKM Negeri Perak, Nor Tipah Majin, Pengarah Bahagian Psikologi dan Kaunseling, Siti Fatimah Ismail, serta pegawai-pegawai kanan kerajaan dari negeri Perak dan Pulau Pinang.
JKM dalam kenyataan media turut menjelaskan trend remaja terdedah kepada pornografi seawal usia 11 tahun kini menjadi kebimbangan nasional, dan program seumpama ini akan diteruskan ke seluruh negara sebagai usaha jangka panjang membina ketahanan moral dan mental remaja.