fb fb fb fb fb

Sultan Ibrahim, Raja Zarith Sofiah adakan lawatan ke Brunei

Bendera Brunei

BRUNEI, 12 Oktober- Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan mengadakan lawatan negara ke Brunei Darussalam bermula esok hingga 15 Oktober.

Pesuruhjaya Tinggi ke Brunei Darussalam, Datuk Mohd Aini Atan berkata, kunjungan itu merupakan lawatan negara pertama Seri Paduka Baginda ke Brunei sejak menaiki takhta pada 31 Januari lalu.

"Pada 14 Oktober program rasmi Yang di-Pertuan Agong akan dimulakan dengan Majlis Sambutan Negara di Istana Nurul Iman disusuli dengan kunjungan menghadap Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan isteri Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha," katanya.

Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong turut dijadualkan menghadiri sesi ramah mesra dengan komuniti Malaysia di Bandar Seri Begawan.

Raja Permaisuri Agong kemudiannya akan mengadakan lawatan ke Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan merasmikan Sudut Penerbitan Malaysia yang mempamerkan penerbitan penyelidikan bersama antara Brunei dan Malaysia.

Keberangkatan Seri Paduka Baginda berdua turut diiringi Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim; Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin.

Pada 2023, Brunei menjadi rakan dagang ke-30 terbesar Malaysia dan rakan dagang keenam terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN dengan dagangan berjumlah RM9.31 billion bersamaan AS$2.04 billion.

Bagi tempoh bermula Januari hingga Julai 2024, jumlah dagangan antara kedua-dua negara adalah sebanyak RM5.48 billion bersamaan AS$1.16 billion.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI