fb fb fb fb fb

Kerjasama pihak berkuasa dengan TikTok tidak terjejas - Fahmi

Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 12 Oktober- Kerjasama dan pengoperasian pihak berkuasa bersama-sama TikTok khususnya dalam aspek penapisan dan saringan kandungan; tidak terjejas.

Perkara itu berikutan syarikat berkenaan mengambil langkah mengurangkan kira-kira 481 tenaga kerja.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, beliau dimaklumkan masih terdapat lebih 3,000 pekerja di TikTok Malaysia, selepas pertemuannya dengan wakil syarikat tersebut semalam.

"Tidak mendatangkan apa-apa kesan negatif kepada operasi mereka di Malaysia dan tidak menjejaskan hubungan kerja dan kerjasama kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). Jadi kerjasama itu diteruskan.

"Malah mereka akan membuka beberapa jawatan baru dan menambah jumlah pekerja kerana ada beberapa perkhidmatan baru yang akan mereka sediakan termasuk perkhidmatan pengkomputeran awan dan juga pusat data," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Kesihatan Lembah Pantai di PPR Kerinchi di ibu negara.

Mengulas lanjut, pemberhentian tersebut dilakukan kerana penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) secara meluas untuk saringan dan moderasi kandungan TikTok.

Dalam perkembangan lain, individu yang menyebarkan maklumat palsu kononnya pelajar Malaysia mengibarkan bendera China di sebuah sekolah swasta, telah dikenal pasti.

Fahmi menegaskan pihak berkuasa akan mengambil tindakan terhadap individu menyebarkan dakwaan tersebut.

Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan menjelaskan, pelajar terlibat bukan warganegara Malaysia, namun merupakan warganegara China yang bersekolah di situ.

"Ada pelajar dari China mengibarkan bendera China, ada pelajar yang mengibarkan Jalur Gemilang, ada yang mengibarkan bendera Pulau Pinang. Jadi saya telah minta pihak MCMC siasat individu yang menyebarkan berita itu.

"Tindakan berkenaan seakan cuba mengadu domba dalam kalangan masyarakat menyebarkan berita palsu. Saya minta pihak PDRM juga mengambil tindakan tegas kerana mereka cuba untuk menimbulkan satu kegusaran dalam masyarakat, seolah-olah kerajaan membenarkan perkara-perkara seperti ini berlaku," katanya.

Pada masa sama Fahmi turut menasihatkan orang ramai diingatkan untuk menyemak fakta sebelum membuat sesuatu tuduhan.

Terdahulu, tersebar gambar di sosial media memaparkan beberapa pelajar mengibarkan bendera China di sebuah sekolah persindirian di Pulau Pinang.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI