GEORGE TOWN, 12 Oktober- Kemasukan kapal China dalam satu kunjungan silaturahim ke Pulau Pinang tidak menjejaskan kedaulatan negara, kerana kunjungan itu dilaksanakan mengikut saluran dan prosedur rasmi.
Exco Pelancongan dan Industri Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai berkata, kunjungan pelajar dari Naval University of China ke Sekolah Menengah Chung Ling (Persendirian) itu diuruskan Pejabat Konsulat General China di negeri itu.
"Ini tidak mencabar kedaulatan negara kita disebabkan ia menggunakaan saluran diplomatik, protokol dan saluran yang bersesuaian. Perkara ini telah dimaklumkan oleh Konsul Jeneral China beribu pejabat di Pulau Pinang. Mereka juga telah memaklumkan kerajaan negeri dan agensi-agensi berkaitan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada RTM di Jabatan Penyiaran Pulau Pinang petang tadi, ketika mengulas berkenaan gambar tular berhubung pelajar dari negara China mengibarkan bendera negara itu di sebuah sekolah di Pulau Pinang.
"Walaupun ada satu gambar yang ditular di media sosial yang memaparkan bendera republik China dikibarkan.
"Tetapi ada banyak gambar-gambar lain yang memaparkan berlaku interaksi pelajar tempatan dengan mengibarkan Jalur Gemilang dan ada juga yang mengibarkan bendera Pulau Pinang. Mungkin ada salah faham, masing-masing mengibarkan bendera negara sendiri," katanya lagi.
Sabtu lalu, dua kapal tentera China berkunjung ke Pelabuhan Pulau Pinang bagi kunjungan ke atas negeri itu.