fb fb fb fb fb

Kes bangunan runtuh, PBT di Melaka disaran tingkat pemantauan

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin

BANDA HILIR, 12 Oktober- Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Melaka digesa untuk memantau lebih kerap terhadap mana-mana projek pembinaan yang sedang berjalan.

Penegasan itu susulan kejadian bangunan runtuh di negeri tersebut pada Jumaat.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata pihaknya kini sedang giat mencari pemilik bangunan berkenaan.

"Pihak majlis akan terus mencari pemilik bangunan yang runtuh itu. Daripada situ, kita akan dapat tahu sebab dan puncanya. Saya juga yakin pihak polis juga akan mengenal pasti individu yang bertanggungjawab."

"Sebelum ini, bangunan itu pernah dijadikan sementara pasar raya borong dan galeri niaga. Jadi, apa yang nak dilakukan di belakang ini pun, kita tidak tahu. Melihat kepada struktur yang dibuat, ia seperti struktur kekal," kata Datuk Rais kepada pemberita, hari ini.

Beliau ditemui selepas melawat tapak runtuhan di Bukit Senjuang, Banda Hilir.

Katanya, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) tidak menerima sebarang permohonan kerja pembinaan bagi kawasan terbabit.

Tambahnya, tapak pembinaan itu juga telah diarahkan tutup serta merta bagi tujuan siasatan.

Beliau turut meminta orang ramai untuk peka dengan keadaan sekeliling dan terus membuat laporan sekiranya ada pembinaan yang meragukan berlaku di kawasan sekitar.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM