fb fb fb fb fb

Banjir di Kedah, jumlah penduduk terjejas berkurangan

Foto Fail

ALOR SETAR, 12 Oktober- Jumlah penduduk terjejas banjir di Kedah berkurangan kepada 2,040 orang daripada 618 keluarga, setakat pukul 9.00 malam ini.

Rekod itu menurun berbanding 2,387 orang daripada 718 keluarga, petang tadi.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata kesemua ditempatkan di 14 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah iaitu Kota Setar, Pendang, Kubang Pasu dan Pokok Sena.

Katanya, daerah Kota Setar, menempatkan penduduk terjejas tertinggi iaitu seramai 1,283 orang daripada 389 keluarga ditempatkan di sembilan PPS.

Di Pendang, 512 orang daripada 140 keluarga ditempatkan di dua PPS dan Kubang Pasu mencatatkan 147 orang daripada 53 keluarga ditempatkan di dua PPS.

Sementara itu, seramai 98 orang daripada 36 keluarga ditempatkan di satu PPS di Pokok Sena.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM