SUBANG, 4 Ogos- Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan Permaisuri Raja Isteri Pengiran Anak Saleha berangkat pulang ke Brunei pada pukul 11.30 pagi tadi selepas menamatkan lawatan kerja selama tiga hari ke Malaysia bermula Rabu lepas.
Pasangan diraja itu berlepas dari Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, disaksikan Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin.
Terdahulu, Sultan Brunei melintasi barisan pasukan kehormat yang dianggotai dua pegawai dan 26 anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja sebelum pesawat yang membawa baginda berlepas.
Sultan Brunei memperkenan lawatan selama tiga hari ke Malaysia bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang belia dan sukan, serta kehakiman syariah melalui dua Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai semalam.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri mengiringi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dalam majlis sambutan negara bagi meraikan Sultan Brunei.
Perdana menteri dan Sultan Brunei juga sempat menyaksikan triti berkaitan Pemindahan Antarabangsa Banduan (ITOP) yang antara lain dijangka mampu membentuk kerjasama yang cekap antara agensi penguatkuasaan undang-undang dan pihak berkuasa perundangan kedua-dua negara.
Perdana menteri turut membawa baginda melihat sekitar Seri Perdana, Putrajaya dalam suasana santai dan penuh harmoni serta memperkenal beberapa menteri kepada baginda dan delegasinya.
Dalam pertemuan empat mata pula, mereka membincangkan hal terkait antara dua negara berjiran, di mana isu-isu pokok seperti kerjasama ekonomi dan pendidikan turut disentuh.
(Perdana menteri turut membawa baginda Sultan Brunei melihat sekitar Seri Perdana
Putrajaya dalam suasana santai dan penuh harmoni serta memperkenal
beberapa menteri kepada baginda dan delegasinya.)
Berita berkaitan:
Malaysia, Brunei sepakat tandatangan tiga MoU
Hubungan Malaysia-Brunei terus diperkukuh
Sultan Brunei mulakan lawatan tiga hari ke Malaysia