fb fb fb fb fb

TVET pemacu kemahiran baharu pelancongan ASEAN

Foto fail / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 November -Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dilihat sebagai tunjang utama dalam memperkukuh daya saing sektor pelancongan ASEAN.

Menurut pensyarah Institute of Graduate Studies (IGS), Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), Prof. Dr. Farha Abdol Ghapar, bidang itu melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan berorientasikan kemahiran digital.

Jelas beliau, pendekatan TVET bukan sahaja menumpukan kemahiran teknikal, tetapi turut meliputi penguasaan komunikasi, pengurusan hospitaliti serta kemahiran mencipta pengalaman pelancongan interaktif.

“TVET memberi tumpuan kepada kemahiran praktikal. Dalam sektor pelancongan, kemahiran ini amat penting kerana ia melibatkan kehadiran fizikal dan interaksi terus dengan pelancong,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.

Ujar beliau, sektor pelancongan ASEAN kini menyumbang 12.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) serantau.

Jumlah itu bersamaan hampir RM125 bilion pendapatan tahunan dan tenaga kerja berkemahiran TVET menjadi nadi kepada pertumbuhan itu.

Prof. Dr. Farha menambah, kemahiran TVET perlu diterapkan sejajar dengan keperluan industri moden termasuk pemasaran digital, pengurusan kandungan pelancongan dan teknologi hospitaliti pintar.

“Sektor pelancongan bukan hanya bergantung kepada destinasi, tetapi kepada cara kita mencipta pengalaman baharu yang menarik minat pelancong,” jelasnya.

Beliau turut menekankan kepentingan amalan kelestarian dan pengurusan mampan, supaya pertumbuhan pelancongan tidak mengorbankan alam sekitar dan budaya tempatan.

Dengan kelebihan sumber semula jadi, budaya pelbagai dan tenaga kerja terlatih melalui TVET, ASEAN diyakini mampu muncul sebagai hab pelancongan berkualiti tinggi dan berdaya saing di peringkat global.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN