fb fb fb fb fb

Sulh-Mediasi, bantu selesaikan konflik rumah tangga

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 23 Januari- Seramai 33 orang peserta daripada Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) seluruh negara bersama ahli akademik Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah berjaya menamatkan dan melalui proses penilaian Pensijilan Sulh-Mediasi yang diadakan pada bulan September yang lalu.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, kaedah sulh-mediasi memberikan kelebihan dan ruang kepada pihak yang berkonflik mencari jalan penyelesaian bersama tanpa perlu hadir ke mahkamah.

"Selain daripada kerja hakiki mereka, mereka boleh menjalankan pengantaraan mediasi ini secara profesional dan saya mengharapkan agar mereka ini bukan sahaja setelah mendapat sijil, akan terhenti di situ sahaja."

"Sebaliknya, mereka dapat memainkan peranan untuk memastikan kalau wujud sebarang pertikaian dalam kalangan anggota angkatan tentera Malaysia, mereka boleh memainkan peranan sebagai perantara dan menyelesaikan pertikaian tersebut," kata Na'im kepada pemberita pada majlis penyampaian sijil professional sulh-mediasi Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) Di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), di sini.

Menurutnya, melalui pensijilan itu bukan sahaja meningkatkan profesion KAGAT dalam hal-hal berkaitan konflik kekeluargaan, malahan boleh dimanfaatkan dalam pelbagai jenis pertikaian lain samada kepada warga angkatan tentera Malaysia (ATM) atau masyarakat sekitarnya.

Selain itu, prinsip penyelesaian pertikaian alternatif atau sulh-mediasi tersebut bertujuan menyelesaikan permasalahan dan pertikaian dengan cara persetujuan bersama serta memendekkan tempoh pertikaian tersebut.

Penglibatan mediator yang tidak berpihak dan mediator yang dipercayai adalah ciri-ciri penting yang menggalakkan penyelesaian pertikaian secara harmoni di luar mahkamah.

Sebarang konflik atau pertelingkahan kekeluargaan  perlu diselesaikan melalui kaedah sulh atau kaedah-kaedah lain seperti runding cara, mediasi, sesi kaunseling perkahwinan dan timbang tara.

Ujarnya, penyelesaian melalui Mahkamah Syariah, selayaknya dijadikan pilihan terakhir.

Sementara itu, Datuk Naím turut mengusulkan kepada JKSM supaya kemahiran sulh-mediasi berkenaan dikembangkan lagi kepada pemerkasaan keupayaan masjid-masjid, masyarakat kampung dan institusi keluarga Islam dengan menggalakkan ‘satu keluarga, satu mediator’.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM