fb fb fb fb fb

Syarikat MTCDP capai pertumbuhan eksport ketara pada 2022 - MATRADE

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 24 Januari- Syarikat peringkat pertengahan (MTC) tempatan yang mengambil bahagian dalam program pembangunan syarikat-syarikat pertengahan (MTCDP) Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), telah mencapai pertumbuhan eksport yang ketara pada tahun 2022.

Pengerusi MATRADE, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata laporan penjejakan impak MTCDP menunjukkan MTC telah memperoleh hasil tahunan terkumpul sebanyak RM33.90 bilion pada 2022, dengan 61% dijana melalui eksport. 

"Dari sudut eksport dan perdagangan pada hari ini, juga di seluruh dunia sedang beralih ke arah nilai baharu perdagangan melibatkan apa yang disebut sebagai ESG (Environment, Social and Governance).

Malah, pada hari ini ia menjadi sebahagian daripada keperluan dan kehendak perniagaan besar dan sesetengah ekonomi maju di seluruh dunia. Begitu jugalah dengan beberapa inisiatif berkaitan seperti ekonomi hijau, kredit karbon, jejak karbon, pengimbangan karbon dan sebagainya," kata Reezal Merican dalam ucapannya sempena Majlis graduasi dan agenda Program MTCDP, di ibu negara.

Tambahnya, daripada pencapaian tersebut, MTC berstatus bumiputera telah merekodkan hasil tahunan terkumpul sebanyak RM5.52 bilion dengan hampir 10% disumbang aktiviti eksport.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM