PETALING JAYA, 23 September - Keperluan melahirkan lebih ramai sukarelawan muda yang terlatih digariskan sebagai usaha penting bagi menyokong pengurusan bencana dan kebajikan masyarakat di negara ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, lebih ramai sukarelawan muda diperlukan sebagai pelapis untuk memperluas bantuan dan mengukuhkan ketahanan negara.
"Justeru , melalui kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Yayasan Sime Darby (YSD), program YSD SiapSiaga memberi latihan serta pensijilan rasmi kepada sukarelawan dengan sokongan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada majlis YSD Volunteer Awards Ceremony (VAC ) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di ibu negara.
VAC 2025 turut memberi pengiktirafan kepada sukarelawan syarikat yang berkhidmat di peringkat akar umbi, sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan mereka kepada masyarakat.
Pada masa sama, lebih banyak syarikat swasta digalakkan untuk berganding bahu dengan rangkaian sukarelawan JKM bagi memperkukuh budaya kesukarelawanan di peringkat nasional.