DUYONG, 22 Oktober- Penubuhan badan sukarelawan, Komuniti MADANI disifatkan sebagai rakan strategik kerajaan dan ejen berkesan penyaluran maklumat kepada masyarakat kata Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (Japen) Melaka Shahrom Ravin Daram Abdullah.
Komuniti itu turut menjadi platform untuk mendapatkan maklum balas daripada orang ramai berkenaan pelbagai isu selain berperanan sebagai penangkis utama terhadap sebarang maklumat tidak benar.
Setakat ini, sebanyak 84 komuniti MADANI telah ditubuhkan di Melaka membabitkan tiga badan sukarela di setiap 28 Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Peranan dia lebih kepada gate keeper jadi komuniti itu akan menjadi duta. Jadi kita akan lihat keberkesanan tiga badan sukarela ini dahulu, sebab sebelum ini satu sahaja bagi satu DUN.
"Sekarang sudah diperluas kepada tiga. Jadi kita tengok keberkesanannya sekiranya positif ia akan ada penambahan kerana perkara ini di peringkat dasar serta melibatkan peruntukan dan sebagainya," katanya kepada pemberita majlis Perasmian Kita Madani Peringkat Negeri Melaka di sini.
Komuniti MADANI merupakan badan sukarela ditadbir urus Japen dengan berlandaskan tiga teras utama iaitu membantu penyaluran maklumat kepada kerajaan, mendigitalkan komuniti dan memupuk semangat perpaduan, patriotik serta kenegaraan.
(Shahrom Ravin Daram Abdullah)