DUYONG, 22 Oktober- Latihan keusahawan di Pusat Ekonomi Digital (PEDi) berjaya meningkatkan penjanaan pendapatan lebih 150 usahawan di Melaka.
Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Melaka Mohd Noor Helmy Abdul Halim berkata, usaha itu memperkasakan usahawan ke arah pendigitalan yang inovatif dan berdaya saing selain berjaya meningkatkan taraf sosioekonomi usahawan terutamanya usahawan luar bandar.
Selain itu, kewujudan PEDi itu juga memberi ruang kepada usahawan baru untuk menghadiri kelas keusahawanan bagi mencipta lebih banyak peluang pekerjaan.
"Kita akan buat bengkel untuk menyemak semula perkara ini. Sebelum ni setiap PEDi kena melatih sekurang-kurangnya lima usahawan, jadi itu akan disemak semula. Secara verbalnya kita dapat maklumat kebanyakkan PEDi berjaya untuk membantu usahawan dalam memastikan produk lebih berkualiti dan menambah nilai dalam sistem jualan terkini.
"Kita sudah minta modul baharu dalam perniagaan secara atas talian untuk diberi latihan di PEDi sendiri," katanya selepas merasmikan Program Kita Madani Peringkat Negeri Melaka di sini.
Lebih 40 pusat PEDi sedia ada di Melaka akan bertindak sebagai pusat sehenti untuk aktiviti ekonomi selain merangsang komuniti digital luar bandar.
(Mohd Noor Helmy Abdul Halim)