RIYADH, 22 Oktober- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakhiri lawatan kerja ke Riyadh, Arab Saudi dengan memanfaatkan Sidang Kemuncak Pertama ASEAN dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) untuk memperjuangkan nasib penduduk Palestin.
Anwar menunjukkan kesungguhan dan tekad tidak berbelah bagi dengan bertemu pemimpin-pemimpin negara untuk bersama-sama menyatakan sokongan membantu rakyat Gaza yang tertindas akibat rejim zionis Israel.
Ketegasan Malaysia membawa isu penindasan terhadap rakyat Palestin dilakukan atas tanggungjawab membela umat Islam dan perjuangan perlu diteruskan.
"Saya beritahu tentang beberapa pandangan kita dan kerjasama yang patut dilakukan untuk dapat meredakan ketegangan ini.
"Tetapi kita menyatakan bahawa sebenarnya tidak akan ada penyelesaian dari krisis gaza atau kemanusiaan seandainya tidak ada kesediaan semua terutama peringkat antarabangsa untuk menyelesaikan isu pokok iaitu isu Palestin," kata Anwar.
Penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-GCC menjadi platfrom tepat dalam memperkukuh kerjasama dalam bidang politik, ekonomi, sosio-budaya dan keselamatan selain memberi penekanan terhadap isu serantau dan antarabangsa.
Malah Malaysia dan Arab Saudi komited menjalin hubungan pelaburan dan perdagangan ke tahap baharu.
Perkara itu dapat dilihat menerusi pertemuan dan kerjasama dengan firma utama industri Arab Saudi antaranya Saudi ARAMCO.
"Jadi sinergi antara dua kawasan tanpa campur tangan negara-negara besar itu memberikan suatu ruang kepada kita untuk bekerjasama dalam pelbagai bidang umpamanya bidang petroleum, gas, kimia dan tenaga hijau yang selari dengan dasar transisi tenaga yang kita umumkan dan beberapa aspek industri peringkat tinggi teknologi yang selari dengan pelan induk perindustrian," katanya.
Perdana menteri mengakhiri lawatan dengan melakukan kunjungan ke atas Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman di Istana Al-Yamamah.
Malaysia turut menjemput Putera Mahkota untuk melakukan kunjungan rasmi ke Malaysia pada tahun depan.
(Datuk Seri Anwar Ibrahim)