SEREMBAN, 22 Oktober - Masyarakat diseru untuk mengelak daripada terbabit dengan politik ekstrem yang membabitkan sentimen agama dan perkauman.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata perkara itu boleh menyebabkan kepada perpecahan masyarakat dan yang lebih parah akan mendatangkan pemikiran ekstrem kepada anak muda.
Katanya, percanggahan hujah dalam dunia politik adalah perkara biasa, namun tidak perlu menggunakan unsur kaum dan agama dalam setiap hujahan.
"Itu biasa dalam politik, sudah tentu pihak lawan cari pihak untuk mereka lawan tapi seperti yang saya katakan politik dalam negara mesti elak unsur ekstrem yang dibawa dalam politik sekarang seperti campur sentimen kaum, agama dan itu sangat bahaya," katanya ketika ditemui pemberita pada Konvensyen Tahunan DAP Negeri Sembilan, di sini.
Dalam perkembangan lain, Loke berkata DAP tidak pernah bersikap antiraja sebaliknya menjunjung tinggi sistem Raja Perlembagaan dan menghormati institusi diraja seperti termaktub dalam Perlembagaan.
Loke berkata DAP seringkali dilabelkan antiraja kerana dasar parti itu yang tidak menerima darjah kebesaran dianugerahkan oleh institusi diraja, bagaimanapun DAP tidak menolak penganugerahan itu sekiranya terdapat pemimpin bersara dalam politik dianugerahkan darjah kebesaran tersebut.
"Kita (DAP) selalu dimomokkan dengan perkara itu (dilabel antiraja), dasar kita tidak menerima darjah kebesaran, ia tidak tepat sama sekali, kita tidak pernah bersikap melawan raja, tetapi dasar kita tidak menerima darjah kebesaran itu ditakrifkan sebagai melawan raja, saya jelaskan ia tidak betul," katanya.