DAMANSARA, 22 Oktober - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melancarkan dua modul iaitu Modul Latihan Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial Semasa Krisis dan Bencana (MHPSS).
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata modul tersebut dibangunkan untuk melatih anggota kesihatan dan paramedik berkaitan kesihatan mental di seluruh Malaysia.

"Kesihatan mental khususnya berkenaan dengan kanak-kanak dan juga remaja semakin meningkat, jadi ini bagi saya sangat membimbangkan. Kita tahulah anak anak dan remaja ini masa depan Malaysia ,masa depan kepada negara," katanya kepada pemberita selepas majlis Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2023 peringkat kebangsaan, di sini.
Tambah Zaliha, KKM juga akan menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) dan beberapa agensi lain bagi meningkatkan literasi kesihatan mental dikalangan kanak-kanak dan remaja.
Jelas Dr Zaliha, pelancaran modul itu diharap dapat mengukuhkan kemahiran pengurusan krisis dalam kalangan anggota kesihatan.
Ini sekali gus dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penjagaan kesihatan mental.