fb fb fb fb fb

Subsidi untuk rakyat tidak dimansuh sebaliknya terus ditambah - Annuar

KUALA LUMPUR, 24 Jun - Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata kerajaan tidak menarik balik subsidi yang diberikan kepada rakyat, malah meningkatkan lagi pemberiannya bagi membantu meringankan beban mereka yang terkesan dengan kenaikan harga barang ketika ini.

Katanya, kerajaan sentiasa prihatin dengan masalah kos sara hidup yang dihadapi rakyat, sehingga menampung sejumlah RM43 bilion subsidi untuk pelbagai perkara.

(Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa)

"Saya nafikan sekeras-kerasnya, tidak pernah ada keputusan untuk menarik balik segala subsidi pada 31 Julai seperti didakwa. Ini adalah fitnah sangat besar dan sama sekali tidak benar dengan apa yang kerajaan sudah putuskan.

"Kerajaan pimpinan Perdana Menteri buat keputusan jitu iaitu dasar membantu rakyat melalui subsidi dikekalkan, malah jumlah subsidi ditingkatkan, selain subsidi lama yang masih berjalan sedang dikaji supaya pelaksanaannya lebih berkesan," katanya dalam sidang media, di sini.

Beliau mengulas mengenai sebuah video di laman Tik Tok yang mendakwa kerajaan akan menarik balik semua subsidi pada 31 Julai ini, sehingga mengakibatkan rakyat melakukan pembelian panik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Rabu mengumumkan kerajaan masih mengekalkan subsidi minyak masak dengan jumlah RM4 bilion untuk tahun ini, bagi menanggung kategori minyak masak kampit satu kilogram (kg).

Perdana Menteri berkata, program subsidi yang bermula sejak Jun 2007 itu, adalah subsidi yang ditanggung kerajaan bagi minyak masak kampit berharga RM2.50 satu kilogram untuk kegunaan Keluarga Malaysia golongan B40, berbanding harga pasaran sebenar iaitu RM9.

Tan Sri Annuar turut mengingatkan, walaupun media sosial mempunyai akses kebebasan dalam menyalurkan sebarang maklumat dan pandangan, namun ia harus disertai dengan sikap tanggungjawab dan tidak disalah guna untuk tujuan tidak baik.

"Peluang kebebasan itu perlu digunakan sebaik mungkin untuk tujuan positif, memberi pandangan dan teguran berfakta, sekali gus tidak menyebarkan berita palsu yang memudaratkan rakyat.

"Namun orang ramai perlu sedar, menyebar berita palsu satu kesalahan dan ada undang-undang yang mengawalnya, mereka yang sengaja berbuat demikian boleh disabitkan dengan tindakan tertentu," katanya.

Media Baharu