fb fb fb fb fb

Pindaan Akta Persaingan 2010 selaras amalan antarabangsa - PM

PETALING JAYA, 24 Jun - Pindaan Akta Persaingan 2010 adalah bertujuan untuk memastikan undang-undang persaingan negara lebih komprehensif dan selaras dengan amalan antarabangsa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata akta itu yang kini dalam proses pindaan terutama berhubung pengenalan peruntukan rejim kawalan penggabungan akan memberikan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) kuasa untuk menilai dan menyiasat transaksi penggabungan yang berpotensi menyebabkan penumpuan pasaran dan boleh menjurus kepada monopoli dalam pasaran.

(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob / FOTO FAIL)

"Kita semua tahu karenah monopoli yang sentiasa menimbulkan keresahan dalam kalangan Keluarga Malaysia, lebih-lebih lagi apabila monopoli ini cuba terus-menerus mengganggu persaingan serta menghalang kemasukan pesaing kecil dalam pasaran.

"Pindaan terhadap Akta Persaingan dan Akta Suruhanjaya Persaingan Malaysia ini akan memberi kuasa kepada MyCC untuk menangani isu persaingan yang lazim dalam landskap ekonomi yang sentiasa berubah dengan berkesan dan cekap," katanya pada ucapan Persidangan Undang-undang Persaingan 2022 MyCC ketiga, di sini pada Khamis.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal, Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Tambah Ismail Sabri, kerajaan menyokong penuh usaha MyCC untuk memperkenalkan rejim itu dalam memastikan ekonomi negara sentiasa rancak berkembang.

Media Baharu