fb fb fb fb fb

MOT diminta rangka kadar tambang berpatutan untuk ECRL - PM

BUKIT TINGGI, 24 Jun - Kementerian Pengangkutan (MOT) diminta untuk mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan bagi merangka kadar tambang yang amat berpatutan untuk perkhidmatan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka mula beroperasi pada Januari 2027.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kadar itu hendaklah seperti tambang perkhidmatan tren elektrik (ETS) Keretapi Tanah Melayu Berhad yang disifatkannya sebagai mesra rakyat.

Katanya, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) juga difahamkan bakal menjana pendapatan sampingan yang dapat menampung kos pengoperasian dan bayaran balik pinjaman pembinaan projek ECRL daripada China EXIM Bank.

(Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap di majlis perasmian kerja pengorekan
Terowong Genting ECRL di Bukit Tinggi, Pahang)

"Sehubungan itu, sebuah syarikat usaha sama dengan nisbah kepentingan 50:50 antara MRL dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) sedang dirancang penubuhannya bagi menjayakan pengendalian operasi perkhidmatan ECRL termasuk menanggung kos dan risiko operasi secara bersama.

"Syarikat usaha sama ini bakal menyediakan bantuan teknikal dan memperhebatkan pemindahan teknologi kereta api serta bersama-sama mengendali dan menyelenggarakan ECRL untuk jangka masa panjang," katanya ketika berucap di majlis perasmian kerja pengorekan Terowong Genting ECRL, di sini.

Terowong sepanjang 16.39 kilometer (km) yang menembusi Banjaran Titiwangsa itu adalah terowong rel terpanjang di rantau ini menghubungkan Bentong dan Gombak.

Sebahagian seksyen C jajaran utara laluan ECRL itu dijangka siap dalam tempoh 3 tahun.

Media Baharu