fb fb fb fb fb

Lebih 48,000 pelatih ikuti pengajian TVET@KPLB

SUNGAI PETANI, 23 Jun- Lebih 48,800 pelatih sedang mengikuti pengajian di institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) setakat 31 Mac lepas.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, jumlah tersebut dijangka akan terus meningkat sejajar dengan tahap kebolehpasaran pelatih yang kini berada pada tahap 87.53 peratus.

“Kita ada tahap sijil, diploma, sarjana muda, sarjana dan Doktor Falsafah jadi maknanya laluannya boleh semua daripada Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

Hari ini kita mula promosi di minggu TVET negara dan selepas itu kita akan pergi juga ke negeri-negeri lain untuk kita promosikan apa kursus yang kita ada, yang kita boleh tawarkan kepada anak-anak muda kita yang memerlukan sokongan selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," katanya selepas merasmikan Ekspo Institusi Pendidikan TVET@KPLB 2022.

(Datuk Seri Mahdzir Khalid, Menteri Pembangunan Luar Bandar)

Datuk Seri Mahdzir berkata, antara yang mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pemain industri terhadap pelatih TVET di bawah kementerian ialah bidang berkaitan multimedia dan digital.

Selain itu, katanya pelatih yang mengikuti pengajian dalam bidang automatif dan kejuruteraan turut mendapat permintaan yang baik.

Beliau berkata KPLB akan berusaha memastikan kebolehpasaran pelatih dan kualiti kursus yang ditawarkan ditingkatkan dengan mengenal pasti kemahiran yang benar-benar boleh dipadankan dengan industri.

"Apa yang kita buat sekarang ini adalah setiap kursus itu ada kerjasama dengan pemain industri supaya ia sepadan.

Contohnya kalau kita buat sesuatu kursus, siapa pemain industri yang mahu ambil pelatih tersebut, Jika ada permintaan kita boleh kerjasama siap-siap," katanya.

Sementara itu, Datuk Seri Mahdzir berkata masyarakat perlu mengubah pandangan mengenai TVET yang kononnya dianggap sebagai laluan bagi pelajar yang gagal meneruskan pengajian mengikut laluan akademik.

"Kita perlu terus bawa lebih banyak kisah kejayaan (pelatih TVET) dalam media sosial dan sebagainya kerana masih ada stigma yang mengatakan TVET ini untuk pelajar yang tidak lepas laluan akademik. Padahal TVET itu sudah ditingkatkan standardnya ," katanya lagi.

Ekspo Institusi Pendidikan TVET@KPLB 2022 berlangsung tiga hari bermula hari ini yang merupakan medan bagi promosi secara tahunan program TVET yang ditawarkan pelbagai agensi dan jabatan di bawah KPLB bagi menarik minat dan seterusnya meningkatkan pengambilan serta kemasukan pelajar baharu.

Penganjuran ekspo ini melibatkan penyertaan dan kerjasama 280 Institusi Pendidikan TVET@KPLB di bawah tujuh agensi utama KPLB antaranya Jabatan Kemajuan Masyarakat, Jabatan Kemajuan Orang Asli, Majlis Amanah Rakyat dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

Media Baharu