fb fb fb fb fb

Ismail Sabri berdepan cabaran besar sebagai PM

KUALA LUMPUR, 23 Jun- Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merupakan Perdana Menteri yang berdepan dengan pelbagai situasi mencabar dalam menguruskan negara yang tidak pernah dilalui oleh perdana menteri lain sebelum ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, ia termasuk mengendalikan pelbagai isu antaranya mengawal pandemik COVID-19, menguruskan impak kenaikan harga minyak dan menyatukan kerajaan dan pembangkang melalui Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik.

"Perkara-perkara ini meletakkan PM, Datuk Seri Ismail Sabri dari UMNO dalam situasi yang tidak pernah dialami oleh mana-mana PM lain, jadi tidak wajar penilaian yang merendah-rendahkan PM dari parti sendiri," katanya dalam sidang media hari ini.

(Tan Sri Annuar Musa, Menteri Komunikasi dan Multimedia)

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang dilaporkan melabel Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri daripada UMNO paling lemah dalam sejarah negara kerana didakwa tidak boleh membuat keputusan atau menegaskan kuasanya.

Tan Sri Annuar yang juga merangkap ahli parlimen Ketereh berkata, walaupun setiap pihak bebas mengeluarkan pandangan peribadi, Nur Jazlan dilihat mempunyai kekurangan dalam membuat penilaian itu.
 
"Dia bukan seorang yang berada dalam kerajaan jadi banyak benda dia tak tahu, dia bukan seorang yang rapat dengan PM, lagilah banyak dia tak tahu, apatah lagi kalau dia ada niat, lagilah dia terpengaruh dengan kecenderungan politik dia. 

Macam mana ada PM mewakili parti yang hanya ada 38 kerusi dan berhempas pulas dengan COVID-19 serta cabaran ekonomi, sepatutnya kita bantu dan bersimpati tetapi sebaliknya ada yang buat tuduhan tidak berasas," katanya lagi.

Beliau turut mempersoalkan tindakan ahli UMNO yang cuba melemahkan pemimpin daripada parti sendiri sedangkan ada pihak lain yang memberi sokongan kepada kepimpinan perdana menteri.

Media Baharu