fb fb fb fb fb

Subsidi telur ditamat bersasar, sepenuhnya 1 Ogos

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 30 April- Kerajaan bersetuju supaya kawalan harga telur ayam ditamatkan dan kadar subsidi telur ayam dikurangkan dari RM0.10 kepada RM0.05 sebiji, berkuat kuasa 1 Mei ini.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam satu kenyataan memaklumkan susulan itu pemberian subsidi bagi telur ayam akan ditamatkan sepenuhnya pada 1 Ogos depan.

"Keputusan tersebut dibuat setelah mengambil kira komitmen pihak industri untuk memastikan pengeluaran telur ayam yang cukup dan terjamin berikutan kos pengeluaran yang telah stabil.

"Ini terbukti sepanjang musim perayaan Aidilfitri yang lalu di mana ketersediaan bekalan adalah mencukupi dengan harga yang kompetitif," menurut kenyataan itu.

Sejak Februari 2022 hingga Disember 2024, kerajaan telah membelanjakan hampir RM2.5 bilion untuk pembayaran subsidi telur ayam kepada pihak industri bagi menampung peningkatan kos pengeluaran berikutan pandemik COVID-19 serta kesan peperangan antara Ukraine dan Russia ke atas harga import soya dan jagung bijian.

Kerajaan juga mengambil kira tempoh kawalan harga dan pemberian subsidi terlalu lama ialah sesuatu yang tidak mampan kepada kelangsungan industri pengeluar telur tempatan serta kewangan negara.

"Selain itu, langkah penyasaran semula subsidi adalah lebih adil memandangkan ketika ini, subsidi turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.

"Hasil penjimatan daripada peruntukan tersebut kelak boleh digunakan untuk pembiayaan projek-projek tertentu untuk kesejahteraan rakyat selaras dengan nilai-nilai MADANI," tambah kenyataan itu.

Bagi meminimumkan impak ke atas kos sara hidup, KPKM dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan langkah-langkah intervensi.

Antaranya pihak industri telah bersetuju untuk memperkenalkan telur gred khas pada harga yang munasabah.

Seterusnya rakyat boleh mendapatkan bekalan telur pada harga yang lebih kompetitif melalui inisiatif Jualan Agro MADANI dan Jualan Rahmah di seluruh negara termasuk di semua outlet Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

Dalam pada itu KPDN akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan melalui pemantauan berterusan bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011) bagi membanteras sebarang aktiviti pencatutan atau manipulasi harga oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab.

Bagaimanapun rakyat boleh menyalurkan sebarang maklumat atau aduan berhubung isu bekalan telur melalui e-mel rasmi KPKM menerusi Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya. atau melalui hotline Ibu Pejabat KPKM Putrajaya 03-8000 8000.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI