fb fb fb fb fb

Perlis perkasa pelancongan komuniti

Foto RTM

KANGAR, 30 April - Pelancongan komuniti di Perlis akan terus diperkasa bagi mempelbagaikan produk yang dilihat mampu menjana ekonomi penduduk setempat khususnya dalam menjayakan Tahun Melawat Malaysia (TMM2026).

Exco Pelancongan Negeri, Abu Bakar Hamzah berkata, sepanjang TMM2026 nanti, tumpuan utama akan diberikan terhadap produk ekopelancongan, adat, seni dan budaya, tradisi dan makanan kepada pelancong dari dalam dan luar negara.

Katanya, pelbagai lokasi baharu pelancongan akan diketengahkan di Perlis sempena TMM2026 termasuklah di kawasan Banjaran Nakawan yang mempunyai lebih 1,000 gua yang boleh diterokai bermula dari Wang Gunung di Bintong ke Kampung Wai, Kuala Perlis.

"Kita akan susun semula daripada segi perancangan Tahun Melawat Malaysia di Perlis bersama kerajaan negeri untuk kita edar awal atau maklum awal jadual Tahun Melawat Malaysia untuk kempen di Perlis. Jadi semoga dengan kempen tersebut, Perlis juga menjadi destinasi penting yang akan dilawati bukan sahaja pelancong dalam negeri malahan pelancong daripada luar negara akan hadir ke Perlis," kata Abu Bakar.

Beliau memaklumkannya pada pada Majlis Perasmian Sesi Libat Urus Bersama Penggiat Industri Pelancongan Perlis 2025 di Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis, anjuran Tourism Malaysia dalam usaha memperkukuh kerjasama strategik ke arah menjayakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

Majlis itu dihadiri lebih 150 penggiat industri pelancongan di Perlis terdiri wakil-wakil agensi kerajaan, persatuan pelancongan, syarikat penerbangan, pengusaha hotel, pengendali produk pelancongan dan ejen pelancongan yang menjadi medan perkongsian bagi membincangkan pelan strategik menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026.

TETITIA YUSOFF