KUALA LANGAT, 30 April- 79 tahun dalam industri penyiaran, RTM terus mengorak langkah dalam meningkatkan kesedaran khususnya penyampaian maklumat kepada masyarakat orang asli tentang kepentingan penjagaan kesihatan kendiri dan komuniti.
Program gabungan NASIONALfm Ambil Tahu–ASYIKfm Kort Paney di Pulau Carey sempena Hari RTM Ke-79 & Hari Kesihatan Sedunia disambut serentak dalam satu program sama yang diadakan di Pusat Kraf Orang Asli Sungai Bumbun.
Menurut Timbalan Pengarah (Pembangunan) Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Selangor dan Wilayah Persekutuan Sharina Abdul Aziz, program berkenaan merupakan inisiatif untuk memberi maklumat dan kesedaran berkaitan kesihatan kepada penduduk setempat.
"Program seperti ini akan mengeratkan hubungan silaturahim antara masyarakat orang asli dengan jabatan-jabatan kerajaan dan pihak terlibat. Ini juga merupakan peluang untuk orang asli mendapatkan maklumat berkaitan kesihatan khususnya kepada suku Mah Meri.
"Kebanyakan penduduk di sini merupakan nelayan, jadi mungkin kurang pendedahan berkenaan kesihatan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program gabungan NASIONALfm Ambil Tahu–ASYIKfm Kort Paney di Pulau Carey sempena Hari RTM Ke-79 & Hari Kesihatan Sedunia, di sini.
Selain aktiviti nelayan masyarakat, di kawasan itu juga mempunyai pusat kraf yang mempamerkan seni kraf tangan penduduk seperti anyaman, ukiran topeng dan lukisan.
Seni persembahan tarian Jooh daripada kumpulan kebudayaan suku kaum Mah Meri di Selangor turut dikenali hingga ke peringkat antarabangsa.
Buktinya, mereka pernah membuat persembahan dan diundang hingga ke Singapura, Itali, Filipina dan United Kingdom.
Berkenaan aktiviti yang dilakukan sempena program berkenaan, ia termasuk penyampaian sumbangan barangan keperluan asas, bantuan keperluan persekolahan, ceramah kesihatan, pemeriksaan kesihatan percuma.
Mereka juga berpeluang mengadakan aktiviti bersama penyampai-penyampai NASIONALfm (DJ Dyya dan DJ Redza) dan ASYIKfm (DJ Azizi, DJ Vicky, DJ Lynda dan DJ Rio) selain menonton persembahan daripada artis popular tanah air, Farawahida dan Nizam Laksamana.
Program berkenaan turut mendapat kerjasama strategik melibatkan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Jabatan Kesihatan dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bumbun serta rakan strategik iaitu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Pusat Pakaian Hari-Hari dan Mamee.