KUALA LUMPUR, 30 April- Perkhidmatan Bas Rapid Transit (BRT) Laluan Sunway akan mengalami perubahan operasi pada 3 Mei ini bermula pukul 2.00 petang hingga tamat operasi untuk memberi laluan kepada kerja-kerja persediaan penganjuran acara larian 'The Under Armour Infinite Race'.
Rapid Bus dalam satu kenyataan memaklumkan perkhidmatan BRT Laluan Sunway akan beroperasi di atas jalan raya secara percuma dengan kekerapan setiap 15 hingga 20 minit dalam tempoh tersebut.
"Pengguna boleh mendapatkan perkhidmatan ini dengan menunggu di bawah setiap stesen BRT Laluan Sunway.
"Kecuali Hentian Bas SJ692 LRT USJ 7 (Di hadapan KK Mart), Hentian Bas SJ67 Mydin USJ, Hentian Bas PJ179 Sunway Mentari (Barat) dan Hentian Bas Setia Jaya (Bertentangan Stesen KTM Setia Jaya)," menurut kenyataan itu.
Maklumat serta notis akan diletakkan di setiap stesen BRT untuk memaklumkan kepada pengguna tentang perubahan operasi serta memudahkan pengguna merancang perjalanan lebih awal.
Bagaimanapun perkhidmatan BRT Laluan Sunway akan kembali beroperasi seperti biasa bermula pukul 6.00 pagi, pada 4 Mei.
Para pengguna juga boleh memuat turun aplikasi PULSE di Google Play dan App Store bagi merancang perjalanan serta layari laman web rasmi Rapid KL di https://myrapid.com.my untuk maklumat terkini.